Arkib Kategori: Basikal

Masa Untuk Kembali Cergas!

Isnin, 3hb Januari lepas adalah hari pertama aku kembali berbasikal setelah sekian lama terhenti. Ada beberapa faktor yang menyebabkan aku tidak berbasikal; hujan, sibuk dengan kerja, sibuk dengan aktiviti sosial (dating la ni) dan paling utama, malas.

Bila tiba awal tahun, aku sedari butang seluar sudah semakin sukar hendak dipasang. Perut semakin membesar dan badan semakin berat. Tinggal enam bulan dan badan masih seperti badak air. Jadi aku mulakan kembali usaha untuk berbasikal, dengan tujuan utama untuk kembali sihat. Tujuan kedua, untuk kurus.

Begini, tanpa senaman yang cukup, kamu buatlah apa saja pun, badan kamu yang besar tidak akan mengurus dengan elok. Kamu boleh diet, sila. Tetapi risiko yang bakal melanda adalah boleh membahayakan organ dalaman badan. Diet yang terkawal lebih baik daripada crash-course. Tetapi cara yang terbaik adalah tetap dengan senaman. Awal berbasikal dulu aku memang jaga pemakanan. Aku kira setiap kalori yang diambil dan aku sasar jumlah kalori yang turun setiap kali berbasikal. Hasilnya, dalam masa sebulan aku berbasikal, aku berjaya turunkan berat badan sebanyak 5kg, ditambah dengan daya tahan dan ‘fitness’ badan yang meningkat. Suruh panjat tangga 10 tingkat bangunan pun aku boleh tanpa rasa penat melampau.

Ianya bukan berapa banyak kamu berjaya kurangkan berat badan. Apa yang lebih penting, tenaga dan daya tahan badan meningkat. Itu sasaran aku.

Jadi aku masih boleh makan apa yang aku suka makan tanpa perlu berkira dengan kalori yang masuk kerana kalau ikut catuan betul, kalori yang keluar sepatutnya lebih atau sekurang-kurangnya seimbang. Sekarang, aku sudah mula kembali melakukan perkara sebegitu, dan lebih lagi. Tahun ini aku perlu kurangkan berat badan dan dalam masa yang sama, meningkatkan ‘fitness’.

Semalam aku berkayuh pada kelajuan purata 22km/j. Sasaran aku adalah sekitar 27km/j, iaitu kelajuan purata ketika aku aktif berbasikal beberapa bulan lalu. Pada kelajuan purata 22km/j, aku boleh habiskan satu pusingan pulau sejauh lebih kurang 11.7km (di core island, Putrajaya) dalam masa sekitar 32 minit. Sasaran aku adalah di bawah 30 minit. Kalau tercapai, aku boleh buat dua pusingan sehari dalam masa sejam.

InshaAllah ianya boleh dicapai. Bergantung juga kepada keadaan. Cuaca sekarang tidak menentu. Semalam aku cuma sempat berkayuh selama lebih kurang 40 minit sebelum hujan turun. Hari ini tidak tahu lagi.

Betul, ada alternatif lain daripada berbasikal yang jauh lebih murah dan boleh dilakukan sepanjang masa. Aku habiskan lebih RM1,500 untuk basikal. Kasut jogging mungkin berharga kurang daripada RM200. Tali skipping jauh lebih murah. Tetapi aku pilih basikal kerana ‘perjalanannya’ dan suasananya. Aku senang dibelai damai suasana alam. 🙂

Kembali Berbasikal

Setelah lebih sebulan tidak berbasikal, kelmarin aku kembali berkayuh. Tahu keadaan badan yang sudah lama tidak bersenam, aku bataskan kelajuan basikal sekitar 20 – 22 km/j bagi mengelakkan kejutan pada badan. Walaupun pada ketika itu cuaca agak redup dengan rintik-rintik hujan sedang turun, aku teruskan juga berbasikal.

Puas sebenarnya. Dapat melihat alam dan suasana sekitar. Paling aku rindu adalah cahaya senja. Aku dapat merakamnya. Semalam juga aku berbasikal. Hari ini walaupun tengahari tadi hujan dan pastinya laluan basah, aku tetap akan berbasikal. Aku perlu kembali cergas seperti sebelum Ramadhan lalu.



Cuaca

Aku baru hendak menulis,

“Cuaca di luar sangat cantik. Aku mahu berbasikal petang ini, InshaAllah”.

Tetapi bila aku lihat kembali di luar, aku dapati cuaca semakin mendung. Hujan semakin tiba. Aku mahu kembali berbasikal setelah berehat sekian lama, sejak dari sebelum berpuasa lalu.

Harapnya cuaca kekal baik sehingga lewat petang, agar dapat aku berbasikal semula hari ini.

Kayuh Basikal Kembali

Lama juga tidak menulis pasal berbasikal. Apa tidaknya, aku hampir dua minggu tidak berbasikal. Minggu sebelumnya kerana ada Pesta Floria di tepi tasik yang mengganggu laluan berbasikal aku. Konon. Padahal, ada jalan lain yang boleh aku guna. Minggu lepas aku sibuk menemani si dia dengan kerjanya dan aktiviti lain (kamu mahu tahu semuanya ke?).

Petang tadi aku berbasikal untuk kali kembali di hari kerja. Malam sebelumnya, aku cuma tidur dua jam. Jadi badan agak lemah untuk mengayuh secara ekstrem. Jadi aku berlagak santai, sekadar 20 – 25 km/j di sepanjang laluan. Aku tidak mendaki bukit kerana aku tahu setelah dua minggu ‘berehat’, pasti badan akan marah bila aku paksa bekerja keras.

Badan aku juga masih gemuk. Maknanya lebih tiga bulan aku berbasikal, hasilnya secara rupa bentuk fizikal masih belum nampak. Tetapi aku tahu ‘fitness level’ aku adalah jauh lebih tinggi berbanding tiga bulan lalu.

Cuma kamu tengok perut aku, masih sama. Perlu ada cara lain untuk aku kempiskan kembali. Sit-up mungkin. Tengok betis aku, masih besar. Kemudian si dia berkata dia dengar nafas aku seperti orang tercungap-cungap. Dia fikir aku letih. Tidak sebenarnya. Cuma nafas aku sedikit berat.

Lagi satu, baju yang aku pakai dalam gambar di atas itu, masa beli aku fikir ianya berwarna kuning. Rupa-rupanya hijau. Sabar sajalah. Sudah rabun warna, kena terima keadaan. Hehehe.

Ada orang bertanya sama ada mereka boleh sertai aku berbasikal. Amat dialu-alukan. Kalau cuaca baik, biasanya aku akan bermula pada jam lebih kurang 5.45 petang di tepi tasik berhampiran Masjid Besi dan Tugu Milenium kerana ianya berhampiran dengan pejabat. Setakat yang aku nampak (kalau aku tidak salah teka warna), cuma basikal aku saja yang berwarna kelabu. Orang lain biasanya akan pilih warna putih atau hitam atau warna lain yang lebih cool. Aku tidak. Aku dengan basikal Giant ATX660 berwarna kelabu, helmet IronMag berwarna kelabu, seluar sukan 3/4 dan jersey sukan yang aku sering salah teka warnanya. Oh, kasut Crocs. Tegur aku, inshaAllah aku akan sahut kerana aku sudah tidak menggunakan iPod Shuffle aku ketika berbasikal. Jadi aku boleh dengar suara orang menjerit ke arah aku.

Siapa mahu beli Apple iPod Shuffle 2GB berwarna err.. gold/oren/hijau (tidak pasti mana satu) aku? RM100 saja. Hahaha. Apahal semua benda aku hendak jual? Tengok SINI. Post aku sebelum ini tulis ianya berwarna hijau. Okay, Apple iPod Shuffle 2GB berwarna hijau. Fikir-fikir balik, tak jadi jual. Sayang dan masih boleh guna kemudian nanti.

Esok berbasikal lagi, inshaAllah.

Bila Hati Sudah Tenang

Bila kita temui apa yang kita mahu lakukan dalam hidup, perbuatan itu akan menjadi lebih mudah daripada terpaksa melakukannya.

Bertahun aku di Putrajaya, datang bekerja di awal pagi dan pulang di lewat petang. Tempuhi kesesakan jalan, harungi hujan dan panas dan meluncur laju kereta tanpa melihat apa yang ada di sekeliling. Bila sudah berbasikal dan menikmati keadaan sebenar di Putrajaya, aku tidak ada jawapan kepada persoalan sampai bila aku akan berada di sini. Kalau boleh untuk selama-lamanya.

Suatu perubahan kecil dalam hidup boleh menghasilkan transformasi diri yang sungguh besar. Seronok.

Petang Membawa Damai

Sepanjang minggu dari Isnin hingga Jumaat tempohari, cuaca sangat menyenangkan di Putrajaya. Empat hari setiap petang selepas waktu kerja, aku berbasikal. Sudah lama aku tidak berbasikal terus menerus begini. Akibatnya, badan jadi lenguh dek kerana tiada masa untuk kembali segar. Maklum saja, waktu malam aku masih ada aktiviti lain.

Sempat juga aku merakam suasana damai di Putrajay di waktu petang sepanjang minggu ini.

Harapnya beberapa minggu mendatang, cuacanya tetap begini.

Tetapi di luar sana sekarang, hujan baru reda.

Berbasikal di Laluan Presint 16 – Parcel B – E, Putrajaya

Satu lagi laluan (trail) yang aku suka guna ketika berbasikal di sekitar Putrajaya adalah laluan di sepanjang tasik di Presint 16 dan Parcel B – E. Ada dua cara untuk aku ke situ.

Pertama melalui Dataran Putra turun ke kawasan tepi tasik (berhampiran tempat letak kereta) dan terus ikut laluan sepanjang tasik (lihat gambar atas). Kedua, yang paling biasa aku buat, aku lalui laluan Core Island ikut arah jam (rujuk post sebelum ini – Berbasikal Di Laluan Core-Island, Putrajaya) sehingga tiba di penghujung Taman Wawasan, betul-betul di tepi Jambatan Seri Bestari, aku belok ke kanan, naik bukit yang agak curam. Sini sama ada kamu kayuh, kalau larat, atau kamu tolak saja basikal hingga tiba ke jalan utama yang menuju ke Jambatan Seri Gemilang.

Selepas jambatan Seri Bestari, belok ke kiri berhadapan Taman Warisan Pertanian, tiba di simpang, belok ke kanan menuju ke Presint 16. Teruskan kayuhan hingga tiba di bulatan kecil. Selepas bulatan ada simpang belok ke kiri menuju ke laluan berbasikal tepi tasik.

Suatu yang menarik mengenai laluan ini adalah terdapatnya mini-wetland di tasik sepanjang Presint 16. Banyak burung berhijrah (migrotory birds) yang boleh ditemui di pulau-pulau kecil yang terdapat di sekitar tasik. Kalau kamu juga peminat fotografi burung, kawasan ini amat sesuai untuk kamu.

Kamu akan melintasi kompleks Alamanda di penghujung barat laluan ini dan seterusnya melalui kompleks-kompleks kerajaan sehinggalah tiba di Dataran Putra. Secara keseluruhan, laluan ini juga hampir sama dengan laluan Core-Island. Agak santai. Cuma di permulaan untuk tiba ke tepi tasik di Presint 16, ianya agak sukar di mana kamu perlu mendaki bukit yang agak curam (buat permulaan, tolak saja basikal hingga tiba di tepi jalan) dan perlu melintasi jalan yang agak sibuk.

Sepanjang laluan di tepi tasik (sejauh lebih kurang 5 km), ianya agak landai dan kurang berangin. Laluan ini kurang orang ramai guna. Kalau ada cuma mereka yang bersiar-siar dan berjogging.


Nampak burung di atas pokok?


Pulau-pulau kecil di tasik yang menjadi tempat burung hinggap.


Ada dua empangan-mini di sini. Kamu boleh pergi melihatnya hingga ke tebing. Jangan terjun, sudah!


Tasik di Presint 16 berlatar belakang Jambatan Seri Bakti.


Panorama sekitar tasik di Presint 16 menghadap kompleks kerajaan di Parcel B – E.


Laluan di tepi Parcel B – E.

Berbasikal di Laluan Core-Island, Putrajaya

Selama ini aku bercerita mengenai aku berbasikal mengelilingi core-island di Putrajaya sejauh lebih kurang 11.5 km satu pusingan. Ada orang bertanya, di mana letaknya core-island di Putrajaya. Kalau kamu ada Google Maps atau Google Earth, kamu boleh melihatnya sendiri. Kalau malas sangat, lihat saja keratan gambar di bawah yang aku rakam menggunakan Google Earth.

Garisan berwarna biru yang ditanda di peta adalah laluan aku berbasikal. Aku panggil ia sebagai Laluan Core Island. Majoriti laluan terletak di tebing tasik. Kalau angin sedikit kuat, kamu akan menghadapi sikit kesukaran mengharunginya. Laluan ini secara umumnya mendatar, sesuai untuk novis yang baru belajar senaman menggunakan basikal serta mereka yang mahu santai. Ada dua tempat yang sedikit curam; berhampiran jambatan Seri Saujana dan di Presint 18. Tetapi jangan risau, ianya tidak sukar untuk dihadapi.

Banyak permandangan cantik yang kamu boleh temui di sepanjang perjalanan. Antara yang paling menarik adalah di sepanjang laluan di Taman Wawasan dan sepanjang laluan di Presint 4 sewaktu senja sedang berlabuh. Aku tidak galakkan kamu menggunakan laluan ini pada waktu malam kerana ianya agak gelap dan laluannya tidak rata. Juga, kamu perlu berhati-hati kerana ramai orang menggunakan laluan ini. Ada yang membawa kanak-kanak bersama mereka.

Berbasikal mengikut arah jam atau lawan jam, laluan core-island adalah laluan yang santai dan tenang. Jom!

Cateye Velo 8 – Lesen Menunjuk Bukti!

Aku terima satu komen pembaca, secara sinikal mempersoalkan sama ada aku mampu mengayuh basikal dengan badan gemuk ini. Sekurang-kurangnya aku berusaha untuk melakukannya daripada mempersoalkan keupayaan diri sendiri. Kalau orang lain hendak persoalkannya, itu hak mereka. Lagi pun aku ada alat yang boleh membantu aku menilai hasil aku berbasikal selama ini.

Semasa aku beli basikal, aku belikan juga Cateye Velo 8 yang merupakan sistem mengukur kelajuan dan fungsi-fungsi lain. Ini paling asas dengan menggunakan kabel dan sensor di jejari basikal.

Semalam aku sempat merakam data hasil berbasikal aku.

Aku berbasikal selama 59 minit 6 saat, hampir sejam. Semalam agak lewat keluar kerana kerja selesai lambat. Walaupun tidak sampai sejam, dek kerana jarang berbasikal, aku berasa kepenatan. Salahkan juga pulut yang aku makan sewaktu minum petang, sejam sebelum berbasikal.

Kayuhan aku semalam merangkumi jarak 20.6 kilometer. Tidak jauh sangat. Aku ikut jalan pintas di pusingan kedua kerana sudah kesuntukan masa. Kalau aku ikut laluan sebenar, jaraknya boleh mencecah 23 kilometer. Satu pusingan core-island dari pejabat adalah lebih kurang 11.5 kilometer.


Semalam aku tidak berkayuh laju. Purata kelajuan kayuhan sekadar 20.9 kilometer sejam. Kalau aku selalu cycling, purata kelajuan boleh mencecah 25 km/j. Ada satu lagi punca kenapa perlahan. Laluan yang aku tempuhi tidak setara jalanraya. Ada laluan yang aku perlu redah air (kalau hujan lebat) dan ada satu tempat yang aku terpaksa turun dari basikal dan mengangkat basikal turun atau naik tangga.

Kelajuan maksima aku semalam adalah 34.9 km/j. Biasanya ini bukan kelajuan kayuhan, tetapi lebih kepada ketika menuruni bukit. Kalau tidak silap, pecutan paling laju aku pernah hasilkan adalah sekitar 45 km/j. Ikutkan masih perlahan. Ada yang boleh berkayuh dengan lebih laju.


Jumlah kalori yang dibakar semalam adalah sebanyak 284.9 kcal. Biasanya sasaran aku adalah 300 kcal. Tetapi memandangkan masa sudah lewat, sasaran tidak tercapai. Ada ketika dulu aku akan pastikan makanan yang aku ambil sebelum dan selepas kayuhan tidak mempunyai kalori yang tinggi. Atas selepas kayuhan, aku akan makan makanan yang kurang 300 kcal bagi mengawal berat badan.

Sehingga semalam juga, aku sudah berbasikal sejauh 541.3 km, dalam masa dua bulan. Sudah sampai di Johor Bahru atau sampai kampung pergi dan balik. Tidak sangka juga sudah sejauh itu aku berkayuh. Tapi kalau di kampung, aku rasa aku boleh pergi lebih jauh.

Meter pelbagai fungsi ini memang banyak membantu aku dalam senaman. Jadi aku sudah jawab persoalan kamu. Aku sudah tempuhi lebih 540 km setakat ini dan inshaAllah akan pergi lebih jauh. Aku lalui hidup tanpa rasa ragu-ragu dan seribu alasan. Carpe Diem!

Berbasikal Setelah Penat Berjalan

Petang tadi setelah selesai kerja di pejabat, sempat aku berbasikal mengelilingi core island di Putrajaya. Asalnya bercadang untuk berkayuh dua pusingan. Tetapi memandangkan hari semakin senja dan kaki semakin penat (kerana banyak berjalan sewaktu bekerja siang tadi), aku mengambil jalan pintas pulang ke pejabat di pusingan kedua.

Nasib juga aku tidak terlanggar seorang budak kecil yang tiba-tiba berlari ke tengah laluan berbasikal. Aku sudah nampak dari jauh gelagat budak tersebut. Jadi dari awal aku perlahankan basikal. Aku cuba bergerak jauh dari budak tersebut. Bila semakin hampir, budak itu tiba-tiba mengundur ke arah aku. Terpaksa aku membrek sekuat hati dan cuba mengelak dari melanggar budak itu. Walaupun perlahan, kalau sudah dilanggar basikal besar, aku rasa keadaan budak itu nanti akan teruk juga.

Ada seorang anggota polis dan dua orang pengawal keselamatan di tempat kejadian. Mereka hanya memerhatikan situasi tersebut. Serentak itu juga, si ibu memarahi budak tersebut dan aku memohon maaf. Aku tidak salahkan budak tersebut. Deep of perception budak kurang daripada orang dewasa. Sepatutnya si ibu yang sudah awal lagi nampak kedatangan aku boleh memberi amaran kepada budak tersebut. Biasanya sewaktu aku berkayuh, itu yang terjadi. Ibu bapa pasti akan memastikan anak-anak mereka sedar kehadiran orang yang berbasikal seperti aku.

Jangan pula salahkan aku. Itu laluan untuk berbasikal juga. Kadang-kadang keadaan begitu sukar hendak kita elak. Jadi kena sentiasa berhati-hati dan jangan leka ketika berbasikal.